Connect with us

SEMASA

Dia bukan seorang mualaf malah jauh sekali seorang Muslim, “Berpuasa pengalaman menyeronokkan” – Kumaran

Published

on

GEORGETOWN – Dia bukan seorang mualaf malah jauh sekali seorang Muslim.

Namun, bagi wartawan penyiaran sebuah stesen televisyen swasta, R Kumaran, 36, berpuasa di bulan Ramadan bukan satu perkara asing bagi dirinya.

Kumaran berkata, dia mula cuba berpuasa sejak berusia 16 tahun ketika bekerja sambilan di sebuah butik pengantin.

Anak jati Parit Buntar, Perak itu berkata, antara faktor dia belajar berpuasa kerana pada ketika itu, dia dikelilingi ramai rakan-rakan Muslim termasuk pemilik butik pengantin tempat dia bekerja.

“Majikan saya (pemilik butik pengantin) mengamalkan penyediaan sarapan pagi dan makan tengah hari buat pekerjanya sebagai sebahagian insentif ketika bekerja namun setiap kali bulan puasa, amalan itu digantikan dengan penyediaan juadah berbuka puasa.

“Kebetulan, ketika saya mula bekerja, ianya minggu terakhir Ramadan. Atas kelaziman saya bekerja di luar dan tidak sempat makan tengah hari, maka saya mula berpuasa.

“Ianya bermula sebagai satu cara untuk mencuba. Bagaimanapun, bersahur dan berbuka secara beramai-ramai dengan rakan sekerja menjadikan ia satu pengalaman yang menyeronokkan,” katanya.

Bapa kepada seorang anak perempuan itu berkata, amalan itu berterusan saban tahun dan dia berjaya berpuasa 20 hari tanpa gagal.

“Setiap tahun saya cuba berpuasa dan saya berjaya mencapai 20 hari. Selepas saya ditawarkan melanjutkan pengajian di sebuah kolej swasta di ibu negara, saya masih meneruskan amalan berpuasa ini setiap kali Ramadan.

“Saya berjaya berpuasa selama sebulan sama seperti rakan beragama Islam lain kerana rakan-rakan serumah saya yang juga beragama Islam amat memberi sokongan kepada saya. Mereka lazimnya akan mengajak saya bersahur dan berbuka bersama,” katanya.

Kumaran berkata, dia turut menetapkan dalam dirinya agar tidak melepaskan peluang berpuasa setiap kali Ramadan walaupun kadang-kadang tidak berpuasa penuh sebulan.

“Saya bersahur seperti biasa, malah ia juga rutin saya setiap kali Ramadan iaitu bangun sahur. Saya ‘enjoy’ buat semua ini. Sejak 2005 hingga 2008, saya puasa cukup sebulan.

“Masa itu masih bujang dan rakan serumah semuanya beragama Islam. Jadi saya ambil peluang untuk berpuasa bersama-sama mereka,” katanya.

Kumaran (depan) bersama rakan-rakannya, isteri dan anak selepas berbuka puasa bersama rakan-rakannya.

Menurutnya, keluarganya turut memahami amalannya itu dan tidak melarang untuk berpuasa.

Suami kepada S Kanjana itu berkata, ibunya juga pernah cuba bersamanya bagi merasai nikmat berpuasa.

“Keluarga amat memahami ‘tabiat’ saya ini. Ini kerana, kawan-kawan saya ramai berbangsa Melayu dan beragama Islam selain keluarga saya mengenali mereka. Jadi tidak timbul masalah atau salah anggap dengan amalan berpuasa yang saya jalani setiap kali menjelang Ramadan.

“Malah, ibu saya juga pernah turut sama menyertai saya berpuasa untuk merasai pengalaman yang sama. Kepuasan berpuasa itu tiada tolok bandingnya. Ianya sangat menyenangkan, tambahan pula saya mendapat sokongan dari rakan-rakan yang amat memahami,” katanya.

Dia berkata, ada juga yang tidak senang dengan ‘minat berpuasanya’ itu bagaimanapun sindiran yang diterima tidak mematahkan semangatnya untuk terus berpuasa.

“Saya faham, ada yang tidak senang dengan tindakan saya ini. Ada yang menyindir ketika melihat saya seakan melebihi mereka yang beragama Islam ketika membuat persiapan berbuka.

“Namun, saya tidak menganggap ianya sesuatu yang boleh mematahkan semangat saya. Saya sedar ianya satu tanggapan di luar pemahaman bahawa sudah ramai kalangan masyarakat bukan Islam yang turut berpuasa bersama rakan mereka (beragama Islam) ketika Ramadan,” katanya.

Menurutnya, pengalaman berpuasa ketika ini tidak seteruk ketika dia mula berpuasa.

“Sekarang saya sudah biasa, tidak teruk seperti mula-mula dahulu. Dahulu, hari pertama berpuasa, rasa letih yang amat teruk. Sekarang sudah berbeza, mungkin kerana sudah ada persediaan fizikal dan mental. Kini, pengalaman hari pertama adalah yang paling dinantikan.

“Jika disebut tentang juadah, bersahur lazimnya saya akan mengamalkan makan kurma dan air kosong selain nasi. Pada waktu berbuka pula, saya makan apa sahaja.

“Bazar Ramadan menjadi lokasi wajib setiap tahun bagi memuaskan keinginan setahun sekali menikmati juadah istimewa yang jarang diperoleh pada waktu lain,” katanya.

Jelasnya, sejak berumahtangga, dia hanya berpuasa sekiranya bertugas di Kedah.

“Apabila pulang ke kampung bersama keluarga di Perak, saya jarang berpuasa kerana mahu memenuhi keinginan mereka makan bersama dan sebagainya.

“Ada juga yang bertanya keperluan saya ikut sama berpuasa. Sebenarnya, sebagai seorang penganut Hindu, kami juga turut berpuasa. Cuma kaedahnya sedikit berlainan.

“Selain untuk merehatkan sistem penghadaman, saya juga maklum tentang kepentingan berpuasa ini dari sudut kesihatan,” katanya.

Sumber : sinarharian

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya.

Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di mimbar raudhah

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

Copyright © 2017 Zox News Theme. Theme by MVP Themes, powered by WordPress.