Connect with us

MOTIVASI

Kagum dengan etika kerja, bos AirAsia cari pelayan bankuet ini dan hebah tawaran untuknya jadi kru kabin

Published

on

Kagum dengan etika kerja, bos AirAsia cari pelayan bankuet ini dan hebah tawaran untuknya jadi kru kabin

Pemuda berusia 21 tahun, Izz Ahmad Danial telah bekerja sambilan sebagai pelayan bankuet di Hotel Concorde di Shah Alam sejak tahun 2019 untuk menjana pendapatan tambahan.

Peluang dan rezeki lebih baik pasti menjelma apabila anda melakukan yang terbaik dalam pekerjaan bersama sikap yang baik.

Pada 26 Jun, Izz bekerja seperti biasa apabila salah seorang bos AirAsia, Suhaila Hassan merangkap Ketua Pramugari Kumpulan mendekati pemuda ini kerana tertarik dengan etika kerjanya dan bertanyakan latar belakangnya.

“Tiba-tiba, dia menawarkan saya pekerjaan sebagai pramugara untuk syarikat penerbangan itu, tetapi saya tidak mempunyai kelayakan yang mencukupi untuk mendapat tempat di syarikat itu,” kata pemuda ini kepada mStar.

Izz mendapat tawaran seumur hidup untuk bekerja sebagai kru kabin AirAsia, tetapi dia memberi jawapan tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dianggap sebagai syarat asas untuk memohon pekerjaan sebagai kru kabin.

Walaupun Izz memberi alasan kerana berasa malu dan tidak layak dengan pekerjaan itu, Suhaila tetap mendesaknya untuk menjadi pramugara Air Asia. Katanya bimbingan dan latihan akan diberikan sungguhpun tiada SPM, cuma kena bermula dari bawah dan Izz juga perlu belajar Bahasa Inggeris, termasuk beberapa syarat lain yang perlu dipenuhi.

Sebelum ini, Izz Ahmad Danial pernah belajar di sebuah sekolah tahfiz di Kedah, dan pada usia 16 tahun, ibunya menghantarnya belajar di Yaman sehingga 2019.

Serius dengan tawaran itu, sebuah video TikTok telah dikongsi oleh Arman Rashid, pengurus Komunikasi dan Kebudayaan Kumpulan Kru Kabin AirAsia. Katanya dalam satu hebahan yang tular, pihak mereka sedang mencari pelayan bankuet yang bekerja dalam satu acara di Hotel Concorde Shah Alam.

Arman merayu orang ramai membantunya menjejaki pemuda itu sambil memuat naik gambarnya.

“Bos saya menghadiri satu acara di hotel itu dan bertemu dengannya. Dia sangat bagus dan merendah diri. Bos saya mahu menawarkan pekerjaan kepadanya,” tambahnya.

“Kepada sesiapa yang terjumpa dengan pemuda ini secara kebetulan, sila maklumkan kepada saya. AirAsia kini sedang mencarinya. Kami mahu menawarkan dia kerja,” katanya.

Tidak lama selepas video TikTok itu disiarkan, mereka akhirnya menemui Izz Ahmad Danial.

Pelayan bankuet bernama Izz Ahmad Danial itu muncul di ruangan komen, “Nama saya Izz Ahmad Danial. Saya bekerja di Hotel Concorde. Maaf, saya baru perasan siaran TikTok abang. Alhamdulillah syukur.”

Izz berkata dia sendiri tidak tahu mengapa pihak syarikat penerbangan itu bersungguh mahu menawarkan pekerjaan kepadanya.

Arman Rashid kemudian telah menghubungi pemuda ini dan memintanya untuk menghadiri satu temuduga pada 5 Julai.

“Kita perlu berbuat baik kepada sesiapa sahaja, walaupun di luar waktu bekerja. Saya tidak menjangka pekerjaan sambilan saya sekarang ini telah membantu saya mendapatkan satu lagi peluang kerjaya yang lebih baik,” tambahnya.

Masih terkejut dan pada masa sama berasa teruja dengan tawaran tidak disangka-sangka itu, Izz Ahmad Danial berkata, “Saya menganggap tawaran ini sebagai cabaran baharu buat diri saya. Saya bersyukur kerana tidak semua orang mendapat peluang ini.”

Jadi, benarlah orang berkata akhlak yang baik penuh keikhlasan itu boleh membawa rezeki muncul tanpa diduga. Semoga sukses dalam kerjaya anda, Izz Ahmad Danial.

Sumber: erabaru

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

Copyright © 2017 Zox News Theme. Theme by MVP Themes, powered by WordPress.